Wanita Patah 4 Tulang Rusuk Akibat Tersalah Makan
Satu kejadian yang mengejutkan berlaku di China apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Huang mengalami kepatahan empat tulang rusuk setelah batuk akibat tersalah makan.
Menurut maklumat yang diperoleh, Huang pada waktu sebelum mengalami kejadian malang tersebut telah mengambil makanan yang pedas. Hal itu menyebabkan Huang terbatuk dan dia mengatakan semasa batuk bunyi aneh dapat didengarinya di bahagian dada.
South China Morning Post mengatakan pada awalnya Huang tidak merasakan ada apa-apa yang tidak kena. Namun, beberapa detik kemudian, dia merasakan kesakitan yang amat sangat apabila hendak bercakap dan bernafas.
Setelah membuat pemeriksaan di klinik kesihatan, doktor yang menjalani imbasan X-ray mendapati tulang rusuk Huang patah dan memerlukan rawatan yang sewajarnya dengan membalut bahagian dadanya selama sebulan untuk sembuh.
Menurut Huang, oleh kerana BMI nya yang boleh dikatakan tidak seimbang boleh menjadi faktor terhadap kejadian itu kerana dia mengatakan bahagian atas dadanya boleh kelihatan tulang.
"Rusuk anda boleh dilihat dengan jelas di bawah kulit anda. Tiada otot untuk menghadang tulang, jadi mudah untuk tulang rusuk anda patah apabila batuk," kata doktor kepada Huang.
Lantaran itu, Huang berjanji akan menyeimbangkan semula kadar BMI badannya untuk memastikan perkara seperti yang telah terjadi ini tidak berulang.
Sumber: South China Morning Post