Temuduga Kerja - Tips-tips Writing Sample, Jom Buat!

Pengenalan

Proses temuduga adalah fasa pencarian kerja yang amat mendebarkan kerana di situlah penentu utama sama ada seseorang calon akhirnya mendapat jawatan yang ditawarkan itu ataupun tidak. Hal ini kerana persaingan dalam dunia pekerjaan semakin sengit disebabkan bilangan graduan yang dihasilkan semakin meningkat saban tahun.

Namun, bilangan pekerjaan yang tersedia boleh dikatakan sekiranya tidak berkurang hanya tetap pada amaun yang mencetuskan persaingan tinggi. Apabila seseorang mendapat panggilan temuduga setelah membuat permohonan, semestinya perasaan yang menggembirakan tidak terhingga kerana hanya memerlukan satu usaha gigih lagi untuk mendapatkan pekerjaan yang diimpikan.

Bila Sebenarnya 'Writing Sample' Ini Diminta Dalam Proses Temuduga?

Proses temuduga dalam pekerjaan mempunyai pelbagai corak dan kaedah di mana ianya bergantung dengan cara yang ditentukan oleh majikan yang menemuduga. Salah satu kaedah proses temuduga yang sering dipraktikkan oleh pihak majikan selain temubual adalah permintaan kepada calon untuk membawa writing sample (contoh penulisan) semasa menghadiri sesi temuduga. 

Writing sample dikatakan satu penilaian oleh majikan terhadap pemohon akan kemahiran mereka dalam menulis. Biasanya penilaian ini sering dilaksanakan dalam pekerjaan yang sangat berfokuskan dalam kerja-kerja penulisan seperti:
  • Kewartawanan
  • Pembangunan Konten (Content Development)
  • Kaji Selidik
  • Perundingan
  • Penerbitan
  • Komunikasi

Walaubagaimanapun, pekerjaan yang berada dalam profesion lain seperti Kejuruteraan, Teknologi IT, Perundangan, Perubatan dan sebagainya turut terlibat sama dalam penilaian ini kerana pada masa kini, banyak majikan menitikberatkan kebolehan menulis sebelum melantik pekerja baru atas sebab kualiti penulisan yang baik akan menunjukkan kualiti seseorang itu dalam:
  • Membuat pelaporan kerja
  • Menyelesaikan tugas yang memerlukan kaji selidik
  • Pengetahuan dalam bidang komunikasi
  • Kemahiran berbahasa melalui penulisan teknikal

Umumnya, writing sample akan dikehendaki oleh majikan apabila jawatan yang dipohon itu skop kerjanya sangat berkaitan dengan kemahiran menulis.

Sebagai contoh, sekiranya jawatan yang dipohon adalah Setiausaha, Kerani dan Pembantu Operasi, semestinya pihak majikan ingin melihat kebolehan anda menulis dari segi pelaporan seperti minit mesyuarat dan kertas kerja. 

Akan tetapi, harus diingatkan bahawa pekerjaan dari sektor lain kena juga bersedia dalam perkara ini kerana ada kemungkinan pihak majikan seperti syarikat kejuruteraan, perakaunan, audit dan juga IT turut meminta hasil writing sample tersendiri yang dihasilkan oleh calon.

Oleh itu, berikut adalah tips yang boleh dilakukan dalam penghasilan writing sample sekiranya majikan menghendakinya untuk dibawa ke sesi temuduga.

Tips-Tips Writing Sample

Pemilihan Writing Sample
  • Kualiti adalah perkara yang perlu dititikberatkan ketika anda memilih writing sample
  • Sebolehnya pastikan hasil penulisan itu yang terbaik anda dapat hasilkan dan telah disemak dari segi isi kandungan, ejaan dan tatabahasa sebelum menghantar.
  • Sekiranya anda bukan dalam penulisan yang profesional, anda boleh menggunakan penulisan artikel yang pernah mendapat pengikitirafan secara profesional dari mana-mana sumber.
  • Sekiranya mempunyai blog, anda boleh menggunakan penulisan terbaik yang anda hasilkan di blog tersebut sebagai writing sample.
  • Sekiranya anda penulis dalam portal rasmi profesionalisme seperti LinkedIn, penulisan yang pernah dihasilkan boleh juga anda jadikan sebagai writing sample tetapi sebolehnya pastikan ianya adalah yang sangat berkaitan dengan pekerjaan yang dimohon.

Kesesuaian Writing Sample Dengan Pekerjaan Yang Dipohon
  • Pastikan writing sample yang anda gunakan berkaitan dengan pekerjaan yang dipohon seperti huraian topik, penerangan skop dan sebagainya.
  • Sebagai contoh, penulisan dengan format journalism sangat bersesuaian untuk dibawa ke sesi temuduga jawatan kewartawanan dan sebagainya.
  • Bagi pekerjaan melibatkan kaji selidik, penulisan berformat academic paper amat sesuai dipilih sebagai writing sample.

Hasilkan 'Writing Sample' Tentang Pekerjaan Yang Dipohon
  • Sekiranya sebelum ini anda tidak pernah menghasilkan sebarang writing sample, jangan khuatir.
  • Apabiila berada dalam situasi sebegini, LANGKAH TERBAIK yang anda boleh lakukan adalah menghasilkan writing sample tentang pekerjaan yang dipohon. 
  • Semasa anda membawanya ke tempat temuduga, sudah pasti pihak penemuduga akan menghargai dan peka dengan usaha yang telah anda inisatifkan. 
  • Pastikan hasil penulisan yang dibuat adalah terbaik dari segi semua aspek teknikal penulisan.

Patuhi Format & Peraturan Yang Ditetapkan Pihak Majikan
  • Salah satu aspek paling penting dalam perkara writing sample ini adalah arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak majikan.
  • Pastikan writing sample anda sepenuhnya MENGIKUTI FORMAT yang dikehendaki oleh pihak penemuduga seperti bilangan patah perkataan, susunan perenggan dan sebagainya. (Sekiranya tiada makluman bilangan patah perkataan, sebolehnya pastikan writing sample hanya sebanyak dua (2) ke empat (4) bilangan muka surat)
  • Sekiranya writing sample yang anda miliki terlalu panjang dan melebihi bilangan patah perkataan yang dikehendaki, pastikan anda meringkaskan secara lengkap dan majmuk writing sample berkenaan. 
  • Selepas itu, berikan tajuk yang sesuai terhadap ringkasan writing sample tersebut. Sebagai contoh, 'Pengenalan dan Kesimpulan Daripada 30 Muka Surat Tesis Kajian Sistem Brek Automotif Kenderaan'

Jangan Lupa Sentiasa Bawa 'Writing Sample' Ke Tempat Temu Duga
  • Sekiranya pihak majikan menghendaki anda untuk membawa writing sample, pastikan bilangan salinan yang dibawa mencukupi untuk semua pihak penemuduga.
  • Anda digalakkan untuk menghantar writing sample melalui e-mel terlebih dahulu sebagai tujuan menunjukkan bahawa anda sememanganya sudah bersedia untuk ditemu duga disamping menunjukkan keperibadian anda sebagai seorang yang profesional dalam sesuatu tugasan.
  • Walaupun pihak majikan tiada menyatakan untuk membawa writing sample, sebolehnya pastikan anda sentiasa membawanya sebagai persediaan awal apabila dikehendaki secara tiba-tiba oleh pihak majikan.

Hasilkan Portfolio 'Writing Sample' Tersendiri Anda
  • Tips jangka masa panjang berkenaan dengan perkara ini ialah anda menubuhkan satu sistem portfolio secara online.
  • Sistem ini boleh dilaksanakan sama ada melalui portal, blog dan sebagainya di mana anda boleh meletakkan serta mengumpulkan semua writing sample yang anda hasilkan di sistem portfolio yang anda wujudkan sendiri.
  • Hal ini semestinya akan menunjukkan kepada pihak majikan akan kualiti diri anda sebagai seorang yang berfikiran proaktif dan sentiasa efisien dalam pelaksanaan sesuatu kerja.

Secara ringkasnya, tips yang perlu anda praktikkan sekiranya writing sample diperlukan oleh majikan / penemuduga adalah:
  1. Pilih writing sample yang berkualiti tinggi (sekiranya anda sudah ada beberapa penulisan sendiri)
  2. Pastikan kesesuaian writing sample yang dipilih mengikut dan sinonim dengan jawatan yang dipohon
  3. Patuhi format & arahan yang ditetapkan oleh majikan. Ubah suai writing sample secara komprehensif dan lengkap sekiranya perlu perubahan yang ditetapkan
  4. Wujudkan atau tubuhkan satu sistem portfolio sekiranya anda mempunyai koleksi writing sample sendiri untuk menunjukkan efisiensi dan profesionalisme anda

Itulah tips-tips yang boleh dikongsikan tentang writing sample dalam dunia pekerjaan terutamanya ketika menghadapi fasa temuduga. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca dan semoga praktikal yang diamalkan membuahkan hasil dalam usaha memohon pekerjaan yang diingini.

👉Telegram Rasmi👈