Permohonan Siti Bainun Tangguh Bicara Bela Diri Ditolak Pihak Mahkamah
Perkembangan terbaru mengenai kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak yang dikenali sebagai Bella pada hari ini mendapati tertuduh yang didakwa bersalah iaitu Siti Bainun telah ditolak permohonannya untuk menangguhkan tarikh perbicaraan bela diri yang dijangka akan dilaksanakan pada Disember ini.
Mahkamah Sesyen pada 5 Disember menolak permohonan yang diutarakan oleh pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di mana menurut Hakim Izralizam Sanusi, keputusan itu dibuat atas sebab proses yang pihak tertuduh gunakan adalah penyalahgunaan prosedur mahkamah.
"Kesimpulannya saya dapati tiada keadaan khas atau istimewa dalam kes ini dan tindakan permohonan bagi penggantungan prosiding di mahkamah ini bagi kes ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
"Oleh demikian permohonan pemohon (Siti Bainun) adalah dengan ini ditolak." kata hakim tersebut.
Merujuk kepada laporan Harian Metro, peguam bagi pihak tertuduh pernah meminta penangguhan atas sebab kesihatan Siti Bainun bukan dalam keadaan yang baik akibat sebelum ini dia pernah dimasukkan ke dalam wad pada 28 November dan dijangka akan menjalani pembedahan pada 3 Disember.
Walaubagaimanapun, surat yang dihantar bertarikh 2 Disember itu didapati tidak memaklumkan tentang pembedahan yang akan dilakukan.
"Tiada dokumen dan sijil cuti sakit (MC) tetapi ada pengesahan surat masuk wad akibat masalah kesihatan.
"Selanjutnya saya memerlukan dokumen dan penjelasan lanjut daripada peguam, maka prosiding berkaitan itu bersambung jam 2.30 petang ini." ujar hakim Mahkamah Sesyen itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad telah membantah permohonan itu dengan berdasarkan notis usul yang difailkan melalui afidavit jawapan pada Jumaat lalu.
Sumber: Lobak Merah