Manusia Pertama Di Dunia Ke Kutub Selatan, Roald Amundsen
111 tahun yang lalu, pengembara terkenal dunia, Roald Amundsen berjaya menjejakkan kakinya sebagai manusia pertama dunia di Kutub Selatan.
Pengembara yang dilahirkan pada 1872 di Borge dekat Oslo, Norway ini adalah figura penting dalam sejarah pengemberaan dunia kutub. Amundsen merupakan pegawai kanan sebuah ekspedisi dari Belgium yang diiktiraf menjadi kumpulan pertama menempuh musim sejuk di Antartika pada 1897.
Beliau adalah penjelajah pertama yang menggunakan kemudi bot layar "Gjoa" dengan merentas Laluan Barat Laut serta mengelilingi perairan Kanada. Amundsen berhasrat untuk menjadi orang pertama di dunia yang berjaya sampai di Kutub Utara. Namun, hasratnya itu tidak tercapai atas sebab pengembara terkenal dari Amerika Syarikat iaitu Robert Peary berjaya tiba di sana sebelum dirinya.
Lantas, tanpa membuang masa, Amundsen bertindak segera untuk berlepas pula menuju ke Antartika iaitu Kutub Selatan pada Jun 1910 di mana pengembara Inggeris, Robert F. Scott pada masa yang sama juga sedang berusaha menuju ke bumi Antartika itu.
Perjalanan Amundsen adalah pelayaran melalui Teluk Paus di mana beliau mendirikan kem dengan jarak 60 batu lebih dekat ke arah Kutub Selatan berbanding Scott. Pada Oktober tahun tersebut, kedua-dua pengembara ini memulakan perlumbaan mereka menuju ke Antartika.
Amundsen difahamkan menggunakan kereta luncur yang ditarik oleh anjing manakala Scott menggunakan kereta luncur bermotor Siberia, kuda poni Siberia dan anjing-anjing Siberia. Perlumbaan tersebut berakhir pada 14 Disember 1911 apabila Admundsen berjaya tiba terlebih dahulu. Selepas itu, pengembara kelahiran Norway itu kembali ke kem asalnya pada lewat Januari.
Menurut fakta yang dikongsikan, Scott terpaksa pulang dengan berjalan kaki kerana kereta luncurnya rosak, anjing-anjingnya terpaksa dihantar pulang dan kuda poninya pula ditembak. Beliau tiba di kemnya pada 18 Januari 1912. Sepanjang perjalanannya dikelilingi cuaca yang buruk dan mengakibatkan 2 krunya maut disebabkan terperangkap oleh ribut.
Kejayaan misi yang bersejarah oleh Amundsen itu dikenali dunia. Beliau seterusnya menubuhkan bisnes perkapalan yang berjaya dan juga menjadi manusia pertama terbang merentasi Kutub Utara pada 1926.
Fakta sejarah mengatakan pada 1928, Amundsen diisytihar terkorban setelah hilang bersama pesawat yang dinaikinya untuk misi mencari dan menyelamat rakan serta kru kapal udara "Italia" yang terhempas di Laut Barents. Sehingga ke hari ini, jasadnya masih tidak ditemui.
Sumber: History