Kisah Penyakit Cacar Berjaya Dibanteras Secara Global
Cacar (smallpox) adalah sejenis penyakit yang boleh merebak melalui jangkitan seseorang individu kepada individu yang lain. Kewujudan penyakit ini adalah disebabkan oleh virus variola.
Asal-usul penyakit cacar sehingga kini masih tidak diketahui. Walaubagaimanapun, kewujudannya dipercayai semenjak 3,000 tahun yang lalu lagi apabila mumia Firaun Ramses dikesan mendapati virus variola di dalam badannya.
Menurut fakta sejarah, penyakit ini tersebar ke seluruh pelosok dunia melalui aktiviti penjelajahan dimana pada abad ke-18 di benua Eropah, 400,000 adalah jumlah bilangan kematian yang dianggarkan setiap tahun. Abad ke-20 pula merekodkan angka terkorban sebanyak 300 juta dan merujuk data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tempoh 100 tahun terakhir kewujudan penyakit ini telah mengorbankan 500 juta mangsa.
Penyakit ini pada awalnya dibanteras melalui kaedah variolasi iaitu pendedahan cecair lepuhan cacar kepada mereka yang tidak pernah menghidapnya. Pada tahun 1796, seorang doktor berbangsa Inggeris iaitu Edward Jenner telah membangunkan vaksin untuk melawan penyakit ini.
Dua budak lelaki (seorang divaksin dan seorang lagi tidak) |
Program membanteras penyakit ini di peringkat global bermula pada tahun 1959 apabila WHO memulakan kempen memerangi cacar. Namun pada tahun tersebut program yang diinisiatifkan tidak memberikan kesan positif secara efektif di seluruh dunia akibat kurangnya dana serta komitmen yang diperoleh oleh negara-negara tertentu. Hal ini kerana kebanyakan negara di Amerika Utara dan Eropah sudah bebas daripada virus variola dan bertindak tidak memberikan sokongan yang sewajarnya dalam program tersebut.
Situasi sedemikian telah menyebabkan penyebaran penyakit cacar ini tidak terkawal di benua lain kecuali Australia. Lantas, pada tahun 1967, usaha membanteras digiatkan semula dan akhirnya bermula pada 1971 Amerika Selatan diisytihar bebas dari cacar dan seterusnya pula Asia (1975) dan Afrika (1977).
Rahima Banu |
Manusia terakhir di dunia yang mendapat jangkitan virus variola major adalah Rahima Banu dari Bangladesh. Beliau pada ketika itu berusia 3 tahun. Atas sebab kaedah, vaksin dan cara yang telah ditemui dalam menyembuhkan penyakit ini, Rahima berjaya disembuhkan dan masih sembuh sehingga ke hari ini.
Maow Maalin dari Somalia pula adalah mangsa terakhir yang mendapat jangkitan variola minor iaitu pada tahun 1977. Korban terakhir penyakit cacar di dunia adalah Janet Parker yang berasal dari Birmingham, England pada 11 september 1978.
Pihak WHO yang telah bertungkus-lumus dan giat membanteras penyakit ini melalui pelbagai aktiviti pengesanan dan penyembuhan secara terperinci akhirnya mengisytihar secara rasmi kepada dunia pada 8 Mei 1980 penyakit cacar (smallpox) akhirnya berjaya dibasmikan sepenuhnya.
Sumber: WHO, CDC, Majalah Sains