Hukum Lelaki Bertocang / Ikat Rambut Mengikut Jawapan Ulama'
Pada era masa kini, fesyen semakin dipelbagaikan dalam semua aspek pemakaian sama ada gaya bertudung, reka bentuk baju dan seluar serta elemen kain yang digunakan dalam penghasilan fesyen pakaian.
Berkaitan dengan itu, boleh dikatakan penggayaan rambut juga semakin inklusif akan keterlibatannya dalam fesyen kehidupan seseorang. Bagi kaum lelaki, salah satu fesyen yang boleh dikatakan adalah trend pada zaman ini adalah ikat rambut ataupun bertocang.
Terdapat pelbagai kemusykilan diutarakan oleh orang awam berkenaan dengan seorang lelaki mengikat rambutnya yang panjang ataupun bertocang sama ada rambut itu panjang mahupun pendek.
Lantaran itu, artikel ini berkongsi serba sedikit mengenai pandangan para Ulama' dalam bab lelaki bertocang. Jawapan / pandangan yang dikongsikan adalah berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh ilmuan agama Islam.
Pandangan-pandangan Ulama'
Sedutan Tanyalah Ustaz bersama Ustaz Muhammad Riduan Zainal Abidin
Soalan:
Saya berambut panjang paras bahu. Baru-baru ini saya mengerjakan umrah. Saya mengikat rambut supaya ia kelihatan lebih kemas. Ketika berjalan bersama rakan di Masjid Nabawi, saya dimarahi oleh pegawai yang bertugas kerana mengikat rambut dan mengarahkan saya melepaskan ikatan. Bolehkah ustaz jelaskan kenapa saya disuruh berbuat demikian.
Jawapan:
Dalam kitab Mukhtasar Shamail Tirmizi ada membincangkan tentang rambut Rasulullah S.A.W. Dalam kitab tersebut ada menyebutkan bahawa Rasulullah biasanya berambut panjang dan adalah haram bagi orang lelaki untuk memakai tocang (mengikat rambut) seperti orang perempuan.
Rasulullah telah melaknat orang lelaki yang melakukannya iaitu cuba menyerupai wanita. Jadi, tidak dibenarkan bagi orang lelaki untuk memakai tocang (mengikat rambut) seperti orang perempuan.
Maka, di sini jelas bahawa pegawai di Masjid Nabawi itu melarang anda melakukan perbuatan haram tersebut. Moga di sini sidang pembaca dapat memahami dengan jelas tentang persoalan ini.
Pandangan Ustaz Azhar Idrus
Soalan:
Apakah hukum mengikat rambut ketika solat dan di luar solat?
Jawapan:
Disebutkan dalam kitab-kitab fekah, Sunat untuk melepaskan rambut di dalam dan di luar solat. Ketika sujud, rambut-rambut tersebut akan turut sama bersujud. Jika rambut terikat, rambut tersebut tidak sujud. Menyalahi melebihi utama jika ikat rambut.
Kepanjangan rambut lelaki setakat bahu sahaja dan jangan menyerupai perempuan. Wallahua'lam.
Pandangan Dato' Dr Zulkifli Al-Bakri
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan membicarakan perkara ini dengan menjelaskan bahawa hukum bagi seseorang lelaki memanjangkan rambutnya adalah dibolehkan kecuali apabila menyerupai wanita.
Merujuk kepada Hadis yang berikut:
Daripada Ibn Abbas R. Anhuma:
Beliau melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lantas dia menghadap Ibn Abbas dan berkata: "Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikan?" Lalu Ibn Abbas menjawab: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda. "Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang."
Riwayat Muslim (1129)
Riwayat Muslim (1129)
Justeru, menurut Dato' Dr Zulkifli Al-Bakri:
"Hukum ini (larangan mengikat rambut ketika solat) adalah khusus bagi lelaki, Solat mereka tetap sah tetapi hukumnya makruh tanzihi".
Makruh Tanzih
Perkara yang dibenci tetapi tidak mendatangkan dosa.
Itulah antara pandangan-pandangan alim ulama' yang diperoleh. Sememangnya memanjangkan rambut bagi lelaki dan juga amalan bertocang dibolehkan tetapi mengikut had yang sepatutnya iaitu tidaklah sehingga menyerupai perempuan adalah perkara yang dilarang dalam agama Islam.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada pembaca semua.
👉Telegram Rasmi👈