Budak Kecil Dimuntah Keluar Oleh Badak Air Selepas Direjam Batu
Satu kejadian yang menakjubkan telah berlaku di Kampala, Uganda iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun ditelan oleh seekor badak air.
Namun, perkara yang lebih mengejutkan lagi adalah badak air tersebut memuntahkan semula kanak-kanak tersebut akibat direjam batu oleh orang ramai di kawasan yang berhampiran.
Kejadian ini bermula apabila kanak-kanak yang tidak didedahkan identitinya itu sedang bermain bersendirian di tepi sebuah tasik bandar Katwe Kabatoro. Menurut maklumat yang diperoleh, kedudukan tasik itu amat berhampiran dengan rumahnya.
Dalam keadaan yang tengah leka bermain, dikatakan seekor badak air mendatangi kanak-kanak tersebut secara tiba-tiba dan terus membahamnya dengan menggunakan rahangnya yang besar itu.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Chrispas Bagonza mengatakan beliau sempat melihat kejadian itu. Setelah menyaksikannya, Bagonza dengan lantasnya bertindak melempar batu ke arah badak air tersebut. Akibat lemparan yang berterusan, haiwan itu memuntahkan semula kanak-kanak tersebut dan melarikan diri ke dalam tasik.
Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital untuk untuk pemeriksaan segara serta menerima rawatan yang sewajarnya. Laporan mengatakan tiada kecederaan berlaku terhadap kanak-kanak tersebut dan kini dalam keadaan yang selamat.
Badak air tersebut dikhabarkan membaham kanak-kanak itu akibat kelaparan dan sekurang-kurangnya statistik mengatakan lebih kurang 500 orang setahun di benua Afrika maut menjadi mangsa kunyahan badak air.
Sumber: Kosmo