VAR mungkin akan diguna pada musim hadapan dalam Bola Sepak Malaysia - FAM

 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat untuk mengorak langkah yang baru dalam arena kancah bola sepak negara iaitu ingin memperkenalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam persaingan Piala FA, Piala Malaysia dan juga Liga Malaysia pada tahun 2023.

Menurut Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi, beliau menyatakan kini badan induk berada dalam fasa penelitian serta perbincangan dalam usaha merealisasikan penggunaan teknologi VAR.

"Buat masa sekarang, kita cuma bincangkan sama ada untuk mengadakan VAR pada 2023 bagi Piala FA dan Piala Malaysia, belum dalam saingan liga.

"Setakat ini, semua Exco bersetuju untuk kita gunakan VAR bagi kedua-dua kejohanan itu dan perkara ini bergantung kepada Jawatankuasa Teknikal FAM yang diterajui Datuk S. Sivasundaram", ujar Timbalan Presiden FAM itu pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali yang keenam untuk penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sivasundaram berkata elemen kos dalam aplikasi VAR ini perlu diperincikan dengan lebih baik dan teratur kerana difahamkan penggunaannya akan memerlukan jutaan ringgit. Aspek-aspek yang lain seperti capaian internet di stadium perlawanan juga faktor utama keberkesanan penggunaan VAR ini.

Justeru, beliau menyatakan bahawa kemungkinan besar adalah penggunaan VAR pada peringkat percubaan ini hanya akan tertakluk pada perlawanan-perlawanan yang tertentu. Contohnya adalah seperti di peringkat separuh akhir dan akhir.

Cetusan idea ini semakin bercambah apabila FAM telah mengadakan perjumpaan khas bersama syarikat gergasi pembekal teknologi VAR iaitu Mediapro dan Hawk-Eye Innovations. Butiran-butiran dan keseluruhan data secara meluas mengenai teknologi VAR ini adalah perbincangan utama dalam perjumpaan yang diadakan itu.

Sumber: Bernama, Astro Awani