Tolak Gaji Perdana Menteri Pendirian Anwar - PM 10

Sumber: Astro Awani

👉Link Telegram Rasmi e-semasa👈


Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau tetap dengan pendirian yang dipegangnya selama ini iaitu tidak akan menerima gaji bagi jawatan ketua pentadbiran negara itu.


Tujuan utamanya adalah untuk menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia akan komitmennya dalam memulihkan keyakinan rakyat dan kerajaan perpaduan yang akan dipimpinnya.


"Saya telah umumkan bahawa langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya tidak melihat menteri tanpa kira parti, agama.


"Saya memilih untuk menolak gaji Perdana Menteri," katanya dalam sidang media pada Khamis.


Pada masa yang sama Anwar juga menegaskan akan mewakili seluruh rakyat negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam menjamin keharmonian dan kesaksamaaan di bawah satu panji iaitu 'Malaysia'.


"Kerajaan perpaduan akan mengangkat martabat rakyat, menghentikan kebobrokan rasuah.


"Saya juga tegas dalam usaha untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


"Saya juga memahami keperluan untuk mengangkat penghayatan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera.


"Kerajaan perpaduan akan tetap menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakannya.


"Bangsa Melayu menjadi induknya dan tidak akan bertolak ansur berkenaan hak kewarganegaraan, saya akan mengiktiraf hak semua kaum dan wilayah," kata Perdana Menteri.


Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan sidang media yang dilangsungkan di Sungai Long Golf and Country Club pada Khamis.


Sumber: Astro Awani