Status Banjir Menyebabkan Bilik Gerakan MAFI Diaktifkan

Bilik Gerakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diaktifkan di seluruh negara untuk membantu semua mangsa banjir yang terjejas terutamanya terhadap golongan petani, nelayan dan penternak di kawasan yang terjejas akibat bencana itu.


MAFI memberi kenyataan melalui MAFI Inc. di setiap negeri telah menggerakkan jabatan dan agensi yang berkaitan untuk segera memantu, bersiap siaga dan seterusnya menyasarkan golongan yang terjejas dengan memberi bantuan yang sewajarnya,


"Ia bagi menilai kerosakan dan kerugian yang dialami serta segera menghulurkan bantuan kepada pihak terlibat. Bilik Gerakan Bencana Pusat juga digerakkan bagi persiapan berkaitan intervensi bantuan kepada komuniti agromakanan yang terjejas disebabkan bencana banjir", kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak MAFI.


Tinjauan awal mendapati kejadian bencana bagi sektor tanaman memberikan kesan buruk kepada seramai 256 petani dengan anggaran keluasan tanaman 374.81 hektar. Kawasan-kawasan yang terlibat adalah empat daerah di Pahang. dua daerah di Kedah, Perak dan Selangor dan satu daerah di Johor.


Pihak MAFI turut menyatakan akan membuat pemantauan situasi secara harian di setiap kawasan yang terkesan. Negeri lain juga dipesan agar bersiap sedia menghadapi bencana ini. Malah, kerjasama yang patut telah dibincangkan pada peringkat awal bersama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


Sumber: Astro Awani, Bernama.