Kisah Negara Terakhir di Dunia yang Memansuhkan Amalan Perhambaan

 

Amalan perhambaan adalah satu perkara yang menjadi kebiasaan utama pada zaman dahulu. Hamba diibaratkan sebagai hak milik bagi tuannya dan boleh dikatakan kehidupan seorang hamba akan ditentukan sepenuhnya oleh tuan yang memiliki. 


Hal ini secara langsungnya menunjukkan bahawa setiap manusia yang menjadi hamba tidak mempunyai kebebasan yang hakiki dalam menentukan segala aspek kehidupan mereka sama ada pada masa yang terkini mahupun masa hadapan. Perkara ini juga lebih menyedihkan apabila zuriat anak manusia yang bergelar hamba secara lumrahnya juga turut mempunyai nasib yang sama seperti ibu bapa mereka iaitu tiada kebebasan dalam menikmati kehidupan kerana juga akan menjadi hamba kepada tuan yang memiliki ibu bapa mereka.


Amalan perhambaan mula terancam di dunia ini setelah berakhirnya peristiwa Perang Dunia II kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada ketika itu memberikan tekanan yang maksimum untuk memberhentikan amalan perhambaan. Lantas, pada tahun 1948, perhambaan diisytiharkan sebagai satu jenayah kemanusiaan dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).


Pengisytiharan ini mendapat sambutan yang sangat positif di mana hampir keseluruhan negara di dunia mengisytiharkan agara amalan perhambaan di negara masing-masing ditamatkan. Walaubagaimanapun, sejarah menyatakan bahawa kebanyakan negara di Semenanjung Arab tidak menyambut baik perkara ini dan kesannya dapat dilihat bahawa perhambaan masih berjalan seperti biasa di negara-negara berkenaan.


Persatuan Anti Perhambaan mengeluarkan satu fakta yang mengejutkan iaitu terdapat lebih kurang 1 juta manusia yang masih bergelar hamba di Semenanjung Arab. Rentetan itu, PBB digesa untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan menangani isu berkenaan atas sebab perhambaan yang masih dilakukan itu adalah satu jenayah mengikut Konvensyen Perhambaan 1926.

Selepas itu, satu persatu negara di Tanah Arab mula memansuhkan perhambaan di negara mereka dan peristiwa yang menjadi signifikan utama dalam sejarah perhambaan manusia adalah apabila negara terakhir iaitu Arab Saudi membuat pengisytiharan secara rasmi memansuhkan amalan perhambaan menerusi Dekri Diraja pada tahun 1962.


Oleh itu, pada tahun 1962, amalan perhambaan di dunia ini akhirnya terhapus dengan serta merta walaupun sebenarnya banyak sumber masih mengatakan amalan ini masih wujud cuma ianya adalah secara tidak formal.


Sumber: Astro Awani, Miers, S. (2003), Slavery in The Twentieth Century: The Evolution of a Global Problem. AltaMira Press; DW; Antislavery Legislation Database; New York Times