Hubungi Talian Ini Sekiranya Anda Menjadi Mangsa Scam!
👉Link Telegram Rasmi e-semasa👈
Marcapada ini boleh dikatakan kepelbagaian teknologi canggih yang wujud seperti kewujudan gajet telefon pintar (smartphone), tablet, kepantasan capaian internet dan sebagainya telah membuatkan segelintir individu untuk berniat jahat mengambil kesempatan menipu orang ramai dari segi kewangan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian yang amat teruk.
Dalam erti kata yang lain, terma yang sering digunakan dalam senario ini adalah SCAM. Mangsa keburukan perkara ini semestinya akan memberi kesan yang amat negatif atas berbagai-bagai aspek kehidupan terutamanya dari segi emosi.
Untuk pengetahuan semua, menjadi mangsa scam oleh individu yang tidak bertanggungjawab bukanlah pengakhirannya. Hal ini kerana ketika ini Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah mewujudkan satu talian khas dengan kod nombor 997.
Talian 997 adalah nombor hotline yang boleh dihubungi dari 8 pagi sehingga 8 malam setiap hari termasuk cuti umum. Mana-mana pihak yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk terus menghubungi nombor berkenaan selain pihak bank.
Tindakan yang pantas akan dapat membantu pihak NSRC dan bank secara khususnya memintas dana yang dicuri dan seterusnya membantu mangsa untuk mengurangkan kerugian walaupun tiada jaminan wang mangsa boleh dikembalikan.
Akan tetapi, mangsa dinasihatkan juga untuk terus membuat laporan polis di balai polis yang berhampiran agar pihak berkuasa juga dapat menjalankan siasatan lanjut.
Justeru, TALIAN 997 adalah talian khas yang diwujudkan oleh pihak NSRC sebagai tindakan pantas mana-mana pihak yang menjadi mangsa scam seperti penipuan pancingan data, penipuan Macau, penipuan serangan perisian hasad, penipuan bungkusan dan sebagainya.
Sebagai makluman, NSRC adalah gabungan beberapa agensi utama negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai satu organisasi yang memfokuskan terhadap kes-kes yang berkaitan dalam penipuan secara online.
Sumber: Lobak Merah