KJ sebagai TPM perlu dimesyuaratkan dahulu - Asyraf Wajdi

Baru-baru ini Exco Pemuda UMNO telah mencadangkan agar Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia sekiranya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) adalah pemenang melalui majoriti undi.


Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang merupakan calon BN di Parlimen Gerik berkata UMNO adalah satu parti yang bersifat demokratik dan berfikiran terbuka dengan semua pandangan mahupun sebarang cadangan. 


Justeru, usul KJ sebagai TPM perlu dibincangkan dahulu dalam mesyuarat peringkat Exco dan mendapat persetujuan semua. Selepas itu, perkara tersebut barulah akan diusulkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.


"Itu sistem yang kita ada. Dalam soal ini tidak timbul soal hendak meremehkan pandangan sesiapa kerana ia merupakan sebuah pandangan yang kita harus raikan.


"Sebenarnya kita dalam parti ada struktur dan disiplinnya. Maknanya kalau mencadangkan Khairy sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pun hendak jadi begitu juga dan jika begitu, tidak ada keharmonian dalam parti," kata Ketua Pemuda UMNO itu di kempen Walkabout Pasar Awam Gerik, pada hari Rabu yang lalu.


Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mencadangkan agar Khairy Jamaluddin dicalonkan sebagai TPM kerana langkah pemilihan ini bagi beliau semestinya akan menjanjikan kemenangan besar BN dalam PRU15.


Sumber: Sinar Harian, Astro Awani