Kisah Sinar-X (X-Ray) Pertama Kali Ditemukan
Tahukah anda sinar-X (X-ray) sebenarnya ditemukan secara tidak sengaja pada 127 tahun yang lalu? Itulah faktanya.
Seorang profesor fizik di Universiti Wuzburg, Jerman yang dikenali sebagai Wilhem Conrad Rontgen sedang mengujikaji sinar katod yang terhasil sama ada ianya dapat menembusi elemen kaca ataupun tidak. Dalam ujikaji tersebut, beliau menggunakan kertas kadbod hitam untuk menutup tiub katod apabila lampu dinyalakan.
Ujikaji tersebut menimbulkan persoalan kepada Rontgen kerana beliau mendapati terdapat cahaya hijau yang terhasil pada bahagian skrin bersadur barium platinosainida. Rontgen tidak mengetahui apakah sinar tersebut.
Justeru, profesor fizik itu menamakan dahulu sinaran yang tidak diketahui sebagai sinar-X terlebih dahulu atas sebab dalam istilah sains 'X' adalah untuk benda / perkara yang tidak diketahui. Rontgen membuat tindakan susulan dan dapat mengesahkan bahawa sinar 'X' mampu menembusi banyak bahan seperti tisu lembut badan. Namun, objek yang tidak legap seperti besi dan tulang tidak dapat ditembusi.
Rontgen membentangkan penemuannya itu pada Disember 1895 di komuniti akademik dan dengan pantasnya dunia perubatan menggunakan sinaran tersebut secara meluas untuk diagnosis dan rawatan. Penemuan ini digelar sebagai satu keajaiban dalam dunia fizik.
Pada fasa awal penggunaan sinar-X ini, pihak awam sering mendapatkannya untuk kegunaan secara persendirian dalam pelbagai tujuan seperti sebagai hiburan dan sebagainya. Tanpa disedari, perkara ini sebenarnya akan menyebabkan kesan buruk yang tidak diingini.
Penggunaan sinar-X dalam kalangan orang awam secara meluas menyebabkan banyak kes kesihatan dilaporkan seperti keradangan, kerosakan kulit dan kematian selepas mendapat pendedahan sinaran tersebut dalam tempoh yang lama. Hal ini menyebabkan arahan berbentuk amaran & peringatan dikeluarkan dan saranan untuk had kegunaan turut diumumkan.
Hasil penemuan yang dianggap satu keajaiban ini membuatkan Rontgen dikurniakan Hadiah Nobel pada tahun 1901. Pengiktirafan ini adalah pencapaian yang pertama dalam dunia fizik. Tanpa disangka, Rontgen dengan rendah hatinya tidak mempatenkan penemuan sinar-X ini. Malah, beliau juga menolak anugerah darjah kebesaran dan wang yang diperoleh dalam Hadiah Nobelnya didermakan kepada universitinya.
Pakar fizik ini meninggal dunia pada tahun 1923 dan maklumat mengatakan yang Rontgen ini pada ketika itu dalam keadaan hampir bankrap. Walaubagaimanapun, atas sebab penemuannya sehingga kini sinaran-X (X-ray) digunakan dalam berbagai-bagai bidang.
Sumber: Astro Awani, Histroy, America Physical Society, Atlas Obscura