Kisah Bagaimana Wujudnya Senjata Raifal 47
👉Link Telegram Rasmi👈
Perang Dunia II adalah peristiwa yang menyebabkan wujudnya inovasi senjata bernama Raifal AK-47. Dalam peperangan ini, pertempuran antara Jerman dan pihak Soviet antara dua kuasa besar yang sangat signifikan dalam sejarahnya.
Pihak Nazi dalam satu pertempuran berjaya melumpuhkan serangan pihak Soviet dengan menggunakan teknologi senjata mereka yang tersendiri iaitu Sturmgewehr (StG) 44. Keberkesanan yang dihasilkan senjata ini sangat efisien berbanding senjata yang digunakan oleh pihak Soviet di mana ketahanan senjata mereka sering tersangkut ketika membuat tembakan.
Kecanggihan Sturmgewehr (StG) 44 ini menjadi bualan dan rungutan utama tentera Soviet. Mikhail Kalashnikov, salah satu tentera yang terlibat dalam peperangan ini sering mendengar akan rungutan-rungutan seangkatan tenteranya yang lain. Lantas, selepas dirawat di sebuah hospital akibat kecederaan yang dialami semasa Pertempuran Bryansk 1941 Kalshnikov berusaha untuk memulakan pembinaan raifal baharu.
Pada awalnya beliau mencipta sebuah submesingan yang secara majoritinya pihak Soviet tidak menerima idea tersebut. Selepas beberapa percubaan dan usaha, dengan inovasi gabungan antara StG 44 dan raifal M1 Garand buatan Amerika, sebuah senjata menggunakan kendalian gas dengan piston gas strok pendek di atas larasnya, AK-47 dihasilkan.
Nombor 47 merujuk kepada tahun senjata itu dihasilkan iaitu pada 1947 dan 'AK' memberi maksud "Avtomat Kalashnikova" atau "Automatik Kalashnikova". Rekaan senjata ini mendapat pengiktirafan oleh pihak Soviet selepas membuat percubaan dan AK-47 ini digunakan sebagai raifal serangan standard Tentera Merah pada tahun 1949.
Penghasilan AK-47 ini menyebabkan wujudnya pelbagai varian atas sebab kebolehfungsiannya yang baik, kos pembuatannya yang murah dan amat mudah dikendalikan. Populariti senjata ini akhirnya mencapai tahap global dan ianya dihasilkan di banyak negara selain Soviet.
Pada tahun 2004, sebanyak 100 juta senjata api yang terdapat di dunia ini adalah daripada keluarga raifal AK-47. Kalashnikov sebenarnya berdukacita atas pengedaran senjata ciptaanya itu yang kini dikatakan tidak terkawal namun beliau tetap bangga dengan keunggulan ciptaannya itu di mana penegasan beliau mengenai raifal AK-47 ini adalah "senjata untuk pertahanan dan bukan untuk serangan".
Sumber: Britannica, Military Times, Astro Awani