Kisah Bagaimana Teknologi WiFi Tercipta

👉Link Telegram Rasmi👈


Unsur penting dunia dalam teknologi masa kini umumnya memerlukan teknologi yang cekap seperti WiFi, GPS dan Bluetooth. Dengan adanya kecanggihan teknologi yang telah disebutkan tadi secara langsungnya membantu semua umat manusia untuk meningkatkan taraf kualiti hidup mereka dalam pelbagai aspek kehidupan seperti komunikasi, perhubungan dari segi pengangkutan, pendidikan, perubatan dan sebagainya.


Tahukah anda bagaimana konsep asas teknologi seperti WiFi wujud? Buat pengetahuan semua, Perang Dunia II adalah peristiwa yang mendorong beberapa orang tertentu menimbulkan idea mereka dalam menghasilkan konsep teknologi ini. 


Individu tersebut adalah Hedwig Eva Maria Kiesler yang berasal dari Vienna, Austria. Beliau adalah seorang pelakon terkenal yang dikenali sebagai Hedy Lamarr. Pelakon ini dikatakan seorang yang suka berinovasi atas kesan dari didikan dan dorongan ayahnya yang sering menyuntik minat kepada Hedy Lamarr tentang bidang teknologi.


Walaupun profesion utamanya adalah sebagai pelakon, Hedy Lamarr sentiasa menghasilkan pelbagai jenis alat yang bersifat inovatif seperti lampu isyarat & tablet yang boleh larut menjadi air soda. Pada tahun 1940 iaitu ketika dunia berada dalam kancah peperangan Dunia II, Hedy Lamarr berkenalan dengan seorang komposer yang dikenali sebagai George Antheil.


Pertemuan antara mereka berdua ketika Perang Dunia II mencetuskan idea yang kreatif di mana mereka dapat menghasilkan sejenis sistem kejuruteraan yang mampu membantu Angkatan Bersekutu menentang teknologi ketenteraan Hitler & Mussolini.


Sebagai contoh, sistem ini melalui kawalan radio dapat memandu peluru berpandu torpedo ke arah yang tepat ke sasarannya dengan lompatan frekuensi & sebaran spektrum yang berkebolehan memiintas sebarang isyarat oleh ketenteraan Paksi (Jepun, Jerman & Rusia).


Setelah berakhirnya Perang Dunia II, teknologi tersebut berjaya dipatenkan di Amerika Syarikat namun pihak ketenteraan Amerika Syarikat enggan menggunakan teknologi tersebut dan menjadikan ia sebagai harta rampasan atas sebab Hedy Lamarr adalah seorang warga asing dari Austria.


Oleh sebab itu, Hedy Lamarr meneruskan profesionnya sebagai pelakon dan akhirnya pada tahun 1962, teknologi yang selama ini dianggap sebagai harta rampasan telah diaplikasikan semula. Walaubagaimanapun, tempoh paten ke atas nama Hedy Lamarr telah luput pada waktu itu dan ini menyebabkan beliau tidak mendapat royalti yang sepatutnya dalam komersial teknologi berkenaan.


Teknologi ciptaan tersebut berkembang dengan pesatnya dan itulah sebenarnya teknologi yang menghasilkan kemudahan manusia pada masa ini iaitu WiFi, bluetooth, dan GPS.


Hedy Lamarr pada tahun 2014 diiktirafkan akan sumbangannya dan nama beliau dimasukkan dalam Dewan Kemahsyuran Pencipta Nasional.


Sumber: Women History, Britannica, Smithsonian Mag, Astro Awani