Asal-Usul Kewujudan Monopoly
Monopoly semestinya merupakan satu perkataan yang amat sinonim dengan semua penggemar permainan yang bertemakan mengurus hartanah ataupun perniagaan.
Rentetan itu, pada 5 November 1935, Syarikat gergasi pengeluar permainan iaitu Parker Brothers telah melancarkan permainan "Monopoly" kepada seluruh dunia. Sejarah permainan ini bermula apabila seorang pelakon teater yang profesional iaitu Elizabeth Magie mendapat ilham untuk mencipta satu permainan yang bertujuan untuk memberi pemahaman yang jelas tentang teori percukaian oleh ahli ekonomi Henry George.
Asal-usul idea permainan ini hanyalah sebagai wadah pendidikan di mana aspek negatif dalam monopolisme dapat digambarkan dalam pemilikan hartanah. Elizabeth Magie pada fasa awalnya berjaya mempatenkan permainan ciptaannya itu dengan nama "The Landlord's Game" di mana ianya berada di pasaran jualan pada tahun 1906.
Beberapa tahun kemudian pelbagai idea dapat dicetuskan di mana ianya sekaligus menghasilkan berbagai-bagai jenis variasi dalam permainan tersebut. Permainan ini yang pada masa itu adalah era kapitalis dan monoplisme ekonomi semestinya menjadi popular secara meluas terutamanya dalam kalangan komuniti Quaker. Sebagai tambahan, atas dasar konsep permainan ini yang ingin menggambarkan akan keburukan monopolisme dalam ekonomi negara Amerika, golongan intelektual berhaluan kiri sangat berminat dengan proses permainan ini.
Seorang penganggur yang bernama Charles Darrow mengetahui akan permainan ini pada tahun 1932. Beliau dengan serta-mertanya mengolah konsep permainan ini dan seterusnya menjual hakciptanya kepada syarikat Parker Brothers dengan nama "Monopoly".
Sepanjang 2 tahun penjualan permainan ini telah mencapai hasil jualan sebanyak 2 juta lebih. Parker Brothers mendapati bahawa Charles Darrow bukanlah pencipta tunggal permainan ini. Mereka mendapat maklumat bahawa Elizabeth Magie adalah pencipta asal konsep permainan "Monopoly" ini. Walaubagaimanapun, bayaran sebanyak hanya 500 US Dollar diberikan kepada Elizabeth Magie manakala Charles Darrow tetap menerima paten "Monopoly" dan juga mengaut keuntungan daripada hasil jualan permainan tersebut.
Untuk pengetahuan semua, tujuan utama Elizabeth Magie memperkenalkan permainan ini adalah untuk menunjukkan kepada orang awam akan kesan buruk ketamakan Amerika dalam memonopoli ekonomi negara dengan penuh prejudis. Namun, penerimaan orang awam terhadap permainan ini hanyalah sebagai satu hiburan dan niat ataupun hasrat utama Elizabeth Magie bolehlah dikatakan tidak tercapai.
Sumber: Astro Awani & The Guardian, Britannica, Smithsonian Mag