Kerajaan PN Akan Menawarkan Komputer Riba Sekiranya Menang PRU-15
Pengerusi Jawatankuasa Tawaran Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan bahawa semua guru di negara Malaysia akan menerima peralatan komputer riba apabila PN berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.
Tujuan utama komputer riba ini diberikan adalah sebagai satu cara utama kepada semua guru untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang lebih efisien dan berkesan.
Selain satu kemudahan yang menyelesakan, komputer riba yang diberikan juga akan memastikan semua guru sentiasa peka dan cakna akan proses PdP yang semakin hari lebih menekankan ke arah era digital globalisasi.
"Ini pertama kali dalam sejarah guru-guru akan disediakan dengan komputer riba bagi memudahkan PdP mereka", pernyataan yang diujarkan oleh Datuk Dr Radzi Jidin pada majlis pelancaran Tawaran PN Best di Townhall.
Sistem pendidikan juga akan dipastikan lebih cekap dan pantas bergerak dengan memastikan kualiti capaian hubungan internet dipertingkatkan di semua sekolah.
Berkaitan dengan perkara tersebut, beliau berkata "Sebelum ini di sekolah tiga tempat saja ada internet iaitu bilik guru, pejabat dan pusat sumber. Kalau kita menang membentuk kerajaan kita akan sambung seluruh kawasan sekolah dengan internet berkelajuan tinggi... itu komitmen kita", kata calon PN di Parlimen Putrajaya itu.
PN telah mengemukakan 234 tawaran manifestonya yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan PRU 15 di mana ekonomi masa hadapan serta taraf hidup rakyat adalah tunjang utama.
Sumber: Berita Harian