Jika PH menang, tanpa banyak rundingan Isu MA63 akan selesai - Anwar Ibrahim


Isu hak-hak Sabah dan Sarawak yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menjadi agenda utama Pakatan Harapan (PH) apabila berjaya membentuk kerajaan melalui kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

 

Penyelesaian terhadap isu ini akan diselesaikan tanpa perlu banyak perbincangan dan rundingan. Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga merupakan Pengerusi PH, mengatakan bahawa pelbagai usaha yang efektif akan direncanakan dalam memastikan pelaksanaan MA63 dapat direalisasikan di mana kelulusannya akan diperoleh melalui Perlembagaan Persekutuan.


"Dalam menegaskan keperluan wujudkan sistem persekutuan, maka pengagihan kuasa itu (adalah) sesuatu yang mesti dalam perlembagaan bagi negara yang dianggap persekutuan. Ini bukan soal yang aneh buat Sabah, Sarawak dan Semenanjung.


"Kerjasama antara negeri dan Persekutuan (kerajaan) adalah kritikal. Berikan suara kepada calon-calon kami di Sarawak untuk kerjasama negeri dan Persekutuan bagi kami memperjuangkan hak rakyat Sarawak", ujarnya semasa memberikan ucapan pada majlis Tawaran Harapan Untuk Sarawak di negeri tersebut.


Pada masa yang sama Anwar menyatakan sebarang perbincangan untuk bekerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PH akan dilaksanakan selepas keputusan PRU15 di peringkat Persekutuan.


Menurut beliau, PH berhasrat mewujudkan satu kerjasama yang erat bukan sahaja dengan GPS akan tetapi dengan semua kerajaan negeri yang ada termasuklah PAS.


Sumber: Astro Awani