Ini Pesanan KKM Kepada Pengundi Yang Positif COVID-19
👉Link Telegram Rasmi👈
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengundi yang positif COVID-19 tidak dibenarkan sama sekali menggunakan sebarang pengangkutan awam ketika hari pengundian pada 19 November 2022 dilaksanakan.
Hal ini adalah untuk memastikan proses pengundian secara keseluruhannya berjalan dengan lancar dan selamat di samping mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas yang berada di pusat mengundi.
"Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif COVID-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.
"Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan", kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM dalam platform media sosial Facebook.
Selain itu, pengundi positif COVID-19 juga diminta untuk tidak bergerak ke tempat awam yang lain pada waktu sebelum dan selepas melaksanakan pengundian agar penyebaran kes positif dapat dielakkan.
Pengundi juga secara amnya dinasihatkan agar kebersihan tangan dijaga dengan sebaiknya melalui amalan sanitasi di tempat yang telah disyorkan oleh setiap pusat mengundi.
"Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19", kenyataan dari akaun Facebook KKM.
Sumber: Astro Awani