Facebook, Meta berhentikan lebih 11,000 pekerja

Akibat kenaikan kos dan pasaran pengiklanan yang dikatakan semakin lemah terhadap syarikat induk Facebook, syarikat Meta Platforms Inc telah mengumumkan akan memberhentikan lebih 11,000 orang pekerjanya. Pemberhentian ini akan menyebabkan 13 peratus pekerja syarikat berkenaan kehilangan pekerjaan dengan serta merta.


Perkara ini dikatakan adalah pemberhentian kerja yang terbesar pada tahun ini dalam sektor teknologi. Selain itu, hal ini juga merupakan kejadian pertama yang berlaku dalam sejarah Meta Platforms Inc semenjak kewujudannya 18 tahun yang lalu.


Mark Zuckerberg, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut menyatakan pada permulaan COVID-19 majoriti pihak perindustrian teknologi berpendapat arena digital akan semakin berkembang pesat dan kekal prestasinya walaupun pandemik telah reda.


Walaubagaimanapun, ianya tidak seperti yang disangkakan kerana persaingan semakin sengit akibat makro-ekonomi di mana kekurangan pendapatan yang diperoleh terjadi. Justeru, langkah drastik dengan memberhentikan pekerja adalah penyelesaian yang terpaksa dilaksanakan.


Pemberhentian secara beramai-ramai ini merupakan tindakan yang diambil selepas syarikat Twitter dan Microsoft Corp juga turut melakukan langkah sedemikian.


"Bukan saja perdagangan online kembali ke trend sebelum pandemik, tetapi kemerosotan ekonomi, persaingan lebih sengit dan kerugian iklan menyebabkan keuntungan kami lebih rendah daripada jangkaan saya. 


"Saya membuat kesilapan dan saya bertanggungjawab terhadap keputusan itu." kenyataan Zuckerberg dalam mesejnya untuk semua pekerja Meta.


Kesan daripada perkara itu, Meta akan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada semua pekerja yang terkesan. Menurut maklumat, pakej pampasannya mengandungi 16 minggu gaji dan tambahan 2 minggu untuk setiap bilangan tahun yang berkhidmat.


Syarikat itu juga mengatakan akan berhenti mengambil pekerja baru sehinggalah suku pertama tahun 2023.


Sumber: Berita Harian