BAJET 2023: BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN PELAJAR - RM 150

 


Merujuk kepada pembentangan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan negara iaitu Tengku Zafrul Aziz, terdapat satu berita baik bagi semua rakyat Malaysia khususnya terhadap golongan yang secara langsung terlibat dalam kehidupan alam persekolahan. 


Berita baik tersebut adalah pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM 150 kepada semua pelajar di mana bantuan ini adalah tanpa mengira latar belakang keluarga seperti pendapatan kedua ibu bapa ataupun penjaga. Bantuan ini juga diberikan secara one-off kepada semua pelajar sekolah yang layak.


BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (BAP)


BAP mula diperkenalkan dalam sistem bantuan kerajaan negara pada tahun 2012 iaitu satu insentif yang diwujudkan oleh pihak kerajaan untuk meringankan beban tanggungan dari segi perbelanjaan sekolah anak-anak khasnya dalam membuat persiapan pada awal tahun sesi persekolahan.


Bantuan yang diberikan sebelum ini hanya terhad mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sebelum ini, insentif ini hanya difokuskan kepada pelajar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar sebanyak RM 3000 dan ke bawah iaitu terhadap golongan Tahun 1 sehinggalah Tingkatan 5.


Berkaitan dengan itu, baru baru ini seperti yang telah dinyatakan, bantuan ini tanpa mengira latar belakang keluarga seperti Isi Rumah Kasar akan diberikan kepada semua pelajar.


NILAI BANTUAN YANG DIBERIKAN


RM 150 adalah nilai bantuan yang akan diterima oleh semua pelajar dan proses pemberian yang dilaksanakan adalah secara one-off.


SYARAT KELAYAKAN UNTUK MENERIMA BANTUAN


Berikut adalah syarat-syarat kelayakan dalam pemberian bantuan ini:

  • Pelajar yang berwarganegara Malaysia. Pembuktian perlu diberikan melalui eviden sijil lahir, mykid dan mykad di mana pengesahan kesahihan dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
  • Pelajar dari Tahun 1 sehinggalah Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya.
  • Pelajar yang berada di Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Swasta dan Sekolah Agama Negeri.


TARIKH BAYARAN DAN PROSES PERMOHONAN

Saluran bantuan ini akan mula diberikan pada awal tahun 2023 iaitu Januari 2023 dan cara permohonan yang perlu dilaksanakan adalah mengikut ketetapan oleh pihak sekolah masing-masing.

Penyaluran bayaran ini akan disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara berfasa ke beberapa akaun iaitu:

  • Akaun Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk sekolah yang tiada Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) Sekolah
  • Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) Sekolah.

Info mengenai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) adalah seperti yang dinyatakan. Terima kasih.