Tips Persediaan Terbaik Dalam Temu Duga Pekerjaan


Setiap aspek kehidupan yang dilalui, persediaan yang efektif secara rapi dan amat mencukupi secara langsungnya akan dapat membantu kita untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan terbaik.

Berkaitan dengan itu, temu duga juga adalah salah satu senario kehidupan yang umumnya sangat penting dalam fasa kehidupan kerana ianya akan menjadi penentu utama untuk kita mendapatkan sesuatu pekerjaan yang diinginkan. 

                               

Pada zaman yang serba moden ini boleh dikatakan ramai calon yang berkelayakan seperti anda dari segi latar belakang pendidikan serta pengalaman bekerja. 


Perkara ini menyebabkan berlakunya persaingan yang tinggi dalam mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, gerakkan diri anda untuk menjadi seorang calon yang berkualiti, profesional dan unik agar prestasi anda dalam proses temuduga adalah yang terbaik di mata pihak penemuduga.


Untuk menjadi terbaik, persediaan yang mantap haruslah dilakukan terlebih dahulu dengan penuh usaha dan komitmen yang jitu.


Justeru, berikut adalah tips-tips persediaan yang perlu anda boleh lakukan untuk menjadi yang terbaik sebelum menghadiri mana-mana temuduga pekerjaan:

  • Buat kajian tentang latar belakang syarikat, jawatan atau bidang tugas yang dipohon
Sekiranya anda mengetahui dan mengenali latar belakang syarikat/jabatan atau bidang tugas yang dipohon, dengan secara semula jadinya, ia akan membantu diri anda untuk lebih bersedia dan berkeyakinan tinggi dalam proses temu duga.

Hal ini kerana soalan-soalan asas yang sering diutarakan oleh semua ahli panel temu duga selalunya berkaitan dengan syarikat/jabatan mereka sendiri dan sekiranya anda tidak dapat menjawab dengan baik ianya akan menunjukkan bahawa anda tidak membuat persediaan yang rapi dan secukupnya.

Selain itu, pihak penemuduga juga sering bertanyakan soalan seperti:

"mengapa anda memohon pekerjaan di syarikat kami?".

Sekiranya soalan ini diutarakan kepada anda, dengan yakinnya anda bolehlah berikan jawapan yang menjelaskan akan kehebatan dan kecemerlangan syarikat tersebut dan seterusnya menyuarakan kebanggaan serta penghormatan anda untuk menjadi sebahagian dari syarikat itu dan membantu dalam usaha mencapai misi dan visi yang ingin dicapai.
  1. Pastikan juga persediaan dokumen berada dalam keadaan yang baik dan tersusun.
  2. Sebaiknya pastikan anda dapatkan nama atau gelaran barisan panel temu duga.

  • Etika pemakaian
Pakaian yang digunakan semasa menghadiri temu duga memainkan peranan yang sangat penting dalam proses tersebut. Melalui pemakaian, majikan akan menilai setiap calon pekerjanya. Jika kemas pakaian anda maka kebarangkalian dan potensi untuk anda diambil bekerja sudah pasti amat tinggi berbanding dengan calon lain yang hanya berpakaian selekeh. Berikut adalah antara contoh etika berpakaian yang betul semasa temu duga :

Bagi lelaki dicadangkan sebolehnya elakkan memakai baju yang tidak berkolar dan sebaiknya pakailah kot beserta tali leher untuk kelihatan lebih kemas dan profesional.

Bagi perempuan pula amat dicadangkan untuk elak pemakaian yang terlalu bercorak dan berwarna gelap. Sebaiknya pakai kasut hitam yang bertutup dan mempunyai tumit sekurangnya 1 inci. Seperti lelaki, pemakaian kot untuk lebih nampak teratur dan profesional amat digalakkan.

  • Cara menjawab soalan sukar dan mencabar
Antara contoh soalan sukar dan mencabar :
  1. "Saya faham anda mempunyai pengalaman dalam bidang ini, akan tetapi bolehkah anda jelaskan sebab anda berhenti dari pekerjaan yang sedia ada?
  2. "Mengapa anda kerap bertukar kerja?"

Cara menjawab dengan betul :
Cuba berikan jawapan yang ringkas dengan nada yang positif serta elakkan perkataan negatif seperti 'masalah', 'tekanan', 'susah' dan 'rumit'.

Sebaliknya cuba gunakan perkataan yang membawa maksud yang lebih positif seperti 'cabaran', 'peluang yang lebih baik', 'peningkatan diri' dan 'peningkatan kerjaya'. 

Tunjukkan bahawa anda seorang yang sukakan cabaran dan sentiasa mementingkan peningkatan diri dan kerjaya dalam sesebuah institusi ataupun organisasi.

Elakkan daripada menyalahkan dan bercerita buruk berkenaan syarikat lama, bekas majikan atau sebarang polisi kerajaan yang anda pernah bekerja.

  • Datang awal pada hari temu duga
Anda seharusnya datang ke lokasi temu duga sekurang-kurangnya 30 minit ataupun 15 minit lebih awal sebelum sesi temu duga bermula kerana salah satu manfaat yang anda akan peroleh adalah:
  • Anda dapat membuat pemeriksaan terakhir akan penampilan anda terlebih dahulu dan pastikan segalanya berada dalam keadaan kemas dan teratur. 
  • Pihak majikan juga akan peka dan cakna akan kepatuhan anda terhadap kualiti menepati masa.

Pastikan telefon bimbit telah dimatikan atau dalam keadaan silent supaya ianya dapat mengelakkan sebarang gangguan berlaku ketika proses temu duga dijalankan. Kegagalan untuk hadir ke tempat temu duga mengikut masa yang ditetapkan akan menjejaskan imej dan peluang anda dalam temuduga tersebut.

  • Bertanya soalan
Sebagai persediaan awal, anda hendaklah menyediakan beberapa soalan yang hendak ditanya dalam temu duga nanti. Antara soalan yang boleh ditanya adalah
  • Bila keputusan temuduga dikeluarkan?
  • Jangka masa lapor diri sekiranya terpilih
Soalan-soalan yang sedemikian akan menampilkan diri anda sebagai seorang yang bersedia dan bersemangat untuk bekerja dengan mereka.

Berikut adalah sebahagian tips-tips yang bolehlah dipraktikkan oleh anda semua sekiranya mendapat peluang untuk bertemu duga dalam apa-apa pekerjaan.


Semoga berjaya. Orang yang berusaha tidak pernah akan rugi!