Info Bola Sepak: 10 Perpindahan Termahal Dunia Tahun 2000 - Bahagian 1
Musim panas ataupun pra-musim 2021/2022 dalam dunia bola sepak umumnya di benua EROPAH pada kali ini adalah satu musim yang amat meriah, kucar-kacir dan semestinya menggiurkan hampir kesemua peminat bola sepak.
Hal ini kerana pelbagai jenis perpindahan pemain yang berprofil tinggi telah berlaku dengan aktifnya dalam tempoh masa 2 minggu yang lalu. Antaranya adalah perpindahan yang amat mengejutkan seluruh dunia bola sepak iaitu Lionel Messi yang akhirnya meninggalkan legasinya di kelab bola sepak Barcelona dan menyertai bekas rakan sekelabnya di Barcelona iaitu Neymar Junior di Paris Saint Germain (PSG).
Selain itu, Romelu Lukaku yang kini kembali semula ke kelab bola sepak Chelsea juga turut memberikan satu keterujaan kepada peminat bola sepak. Malah, keaktifan yang amat menyerlah ditonjolkan oleh kelab bola sepak Manchester United pula dengan membuat pembelian dua pemain popular iaitu Raphael Varane serta Jadon Sancho memberikan satu semangat yang optimistik khususnya kepada peminat kelab bola sepak Manchester United.
Berkaitan dengan topik PERPINDAHAN PEMAIN dalam dunia bola sepak, admin ingin mengajak semua pembaca untuk bersama-sama kita mengimbau kembali PERPINDAHAN PEMAIN pada beberapa tahun yang dulu. Pada edisi kali ini, jom kita imbau semula:
10 PERPINDAHAN TERMAHAL DUNIA PADA TAHUN 2000:
BAHAGIAN 1: (10 - 6)
10) MATIAS ALMEYDA - 19,700,000£ (LAZIO ke PARMA)
Matias Almeyda adalah pemain tengah yang berasal dari negara Argentina. Setelah memenangai Liga Serie A, Coppa Italia dan menjadi hero tempatan di kelab bola sepak Lazio, Almeyda berpindah ke kelab bola sepak Parma pada tahun 2000. Di Parma, Almeyda berjaya memenangi Coppa Italia pada tahun 2002.
9) DAVID TREZEGUET - 20,000,000£ (MONACO ke JUVENTUS)
David Trezeguet adalah satu nama yang amat dikenali oleh peminat bola sepak dunia atas sumbangan utamanya menjaringkan Gol Emas (Golden Goal) dan membantu negara Perancis menewaskan Itali pada perlawanan akhir EURO 2000. Potensinya ketika berada di kelab bola sepak Monaco pada tahun 1999 amat diketahui oleh kelab gergasi di Eropah dan kelab bola sepak Juventus bertindak pantas membeli Trezeguet.
Perjalanan karier di Juventus, Trezeguet berjaya memenangi 2 Liga Serie A pada tahun 2001 dan 2002. Tahun 2002 adalah kemuncak kejayaan Trezeguet di Juventus kerana beliau telah menjadi penjaring terbanyak liga sebanyak 24 Gol, memenangi anugerah pemain terbaik Liga Serie A dan juga pemain asing terbaik Liga Serie A.
8) SAVO MILOSEVIC - 21,400,000£ (REAL ZARAGOZA ke PARMA)
Berasal dari negara Serbia, Savo Milosevic adalah seorang penyerang yang amat menyerlah ketika beraksi di La Liga (Liga Sepanyol) bersama kelab bola sepak Real Zaragoza pada musim 1999-2000. Prestasi yang cemerlang dalam musim tersebut di liga di mana jaringan gol sebanyak 21 membuatkan kelab gergasi Itali pada waktu berkenaan iaitu kelab bola sepak Parma mendapatkan perkhidmatan Milosevic.
Namun, prestasi yang diinginkan tidak dapat berjaya dihasilkan semula semasa berada di Itali di mana akhirnya pada tahun 2002, Milosevic kembali semula ke Zaragoza secara pinjaman.
7) FLAVIO CONCEICAO - 21,400,000£
(DEPORTIVO LA CORUNA ke REAL MADRID)
Flavio Conceicao adalah seorang pemain tengah yang asal-usulnya adalah dari negara Brazil. Beliau pernah bermain untuk negaranya sebanyak 40 penampilan. Conceicao menyertai kelab bola sepak Real Madrid pada musim panas 2000 setelah menjadi pemain utama dalam kejuaraaan yang diperolehi iaitu La Liga bersama kelab bola sepak Deportivo La Coruna.
Prestasi yang baik diteruskan oleh beliau apabila berada di Madrid dengan memenangi dua kejuaraan La Liga (2001, 2002) dan piala Uefa Champions League pada tahun 2002.
6) RIO FERDINAND - 22,300,000£
(WEST HAM UNITED ke LEEDS UNITED)
Rio Ferdinand semestinya adalah satu nama yang sangat dikenali oleh peminat kelab bola sepak Manchester United. Pada tahun 2000, Ferdinand membuat perpindahan pertamanya sebagai pemain profesional dari kelab bola sepak asalnya iaitu West Ham United bukanlah ke Red Devils, sebaliknya adalah ke sebuah kelab bola sepak musuh seteru Manchester United yang berasal dari Yorkshire iaitu Leeds United.
Perpindahan beliau pada waktu tersebut adalah rekod perpindahan British dan merupakan pertahanan termahal dunia. Kualiti yang dimiliki oleh Rio Ferdinand menghasilkan satu prestasi seperti yang diharapkan oleh The Whites. Mereka berjaya ke separuh akhir Uefa Champions League pada musim 2000-2001 di mana jaringan menerusi tandukannya menentang Deportivo La Coruna pada peringkat suku akhir adalah salah satu titik utama kemuncak beliau pada musim tersebut.
Pada musim 2001-2002, Ferdinand telah menjadi kapten pasukan The Whites dan prestasi yang dipamerkan sepanjang bersama Leeds United memastikan kelab tersebut dengan berterusan menjadi salah satu pencabar liga pada awal tahun 2000-an.